Contoh tindakan yang bijaksana yang pernah diambil oleh N.M SAW dan kesannya


Penghijrahan dari Mekah ke Madinah
Tentangan terhadap Islam semakin hebat dan pelbagai usaha dari pihak Quraisy untuk menyekat dakwah Islam. Musyrikin Makkah telah melakukan pelbagai usaha menghalang dakwah Rasulullah S.A.W antaranya, tawaran untuk bergilir-gilir melaksanakan agama masing-masing, menawarkan pangkat, harta dan wanita kepada Rasulullah S.A.W, mengenakan sekatan ekonomi terhadap orang Islam, Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib selama 3 tahun. Selain itu, mereka juga telah melakukan penyeksaan terhadap orang Islam dan membuat perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad.
Pada tahun 620 Masihi, beberapa orang Madinah telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W secara sulit. Pertemuan itu telah membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua pada tahun berikutnya. Seterusnya, Nabi Muhammad telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Madinah supaya perjuangan dakwah Islam dapat diteruskan.
Penghijrahan tersebut telah mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin. Hijrah juga telah menjurus kepada pembinaan masjid sebagai tempat ibadah dan lambang perpaduan umat Islam. Selain itu juga, beberapa perjanjian telah termeterai bersama golongan Yahudi di Madinah.

Piagam Madinah:Bukti Kebijaksanaan Nabi Muhamad
Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
·         23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
·         24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.


Perangkaan Piagam Madinah
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.
Langkah pertama
Dilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.
Langkah kedua
Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
Langkah ketiga
Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:
·         Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
·         Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
·         Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
·         Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
·         Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,

Tujuan Piagam Madinah
·         Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
·         Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
·         Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
·         Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
·         Mewujudkan keamanan di Madinah
·         Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
·         Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
·         Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
·         Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
·         Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Prinsip Piagam Madinah
·         Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
·         Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
·         Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
·         Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
·         Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
·         Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
·         Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
·         Kebebasan beragama
·         Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
·         Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.

KESAN PIAGAM MADINAH
·         Penerimaan Rasullah s.a.w sebaagi Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan apa-apa dasar negara dan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari masa ke semasa.
·         Pengekalan struktur kekeluargaan masyarakat Madinah yang tidak bertentangan dengan Islam di samping pengubahsuaian sebahagian darinya mengikut hukum-hukum Islam. Ketua-ketua kaum tetap mempunyai autority terhadap kaumnya dan Rasullah s.a.w adalah sebagai Ketua hakim yang akan memutuskan hukumaan terhadap kesalahan -kesalahan di luar bidang kuasa ketua -ketua kaum berkenaan.
·         Orang-orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat sesama mereka secara aman dan mereka hendaklah membantu saudara seagama dan ditegah membantu dan berpihak kepada musuh-musuh Islam.
·         Piagam Madinah telah menyatukan dan mendamaikan antara suku-suku bangsa Arab di Madinah yang sentiasa bertelagah sebelum ini.
·         Kebebasan dalam kegiatan perniagaan dan keadaan yang aman di Madinah telah menarik minat pedagang-pedagang luar untuk datang ke Madinah. Akhirnya Madinah telah menjadi pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab. Dengan itu, umat Islam secara beransur-ansur telah menguasai ekonomi Madinah dan di kawasan persekitarannya.
·         Dengan peruntukan piagam ini, orang-orang Yahudi tidak lagi boleh membuat sebarang pakatan dengan orang Quraisy Makkah dan mereka diwajibkan mempertahankan negara dari ancaman luar bersama-sama dengan orang Islam.
·         Memberi kebebasan beragama dan tidak boleh mengganggu penganut-penganut agama lain. Dengan kebebasan ini, orang-orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam. Ini memberi peluang kepada orang-orang bukan Islam bergaul dengan orang-orang Islam dan memerhatikan akhlak dan personaliti orang-orang Islam dan juga ibadat mereka yang penuh dengan disiplin. Ini semua telah menarik minat orang-orang bukan Islam memeluk agama Islam.
·         Melalui piagam ini, orang-orang Yahudi secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah yang sebenar. Sebelum ini, ketiga-tiga perkara ini ditolah oleh orang-orang Yahudi.
·         Hak dan keselamatan setiap penduduk Madinah adalah terjamin. Mana-mana pihak yang cuba mengkhianati piagam akan diambil tindakan tegas dan dihukum seberat-beratnya tanpa mengira bangsa atau agama. Hukuman telah dikenakan kepada pengkhianat piagam, seperti apa yang dikenakan ke atas Bani Qainuqa’ yang berkomplot dengan orang Arab Quraaisy Mekkah dalam Perang Badar. Mereka dihalau, begitu juga dengan Bani Nadir, mereka dihalau kerana berkerjasama dengan orang Arab Quraisy dalam Perang Uhud dan membunuh kaum lelaki Bani Quraizah yang mengisytiharkan perang dan berkerjamasa dengan Quraisy Makkah dalam Perang Khandak.

No comments:

Post a Comment